Selasa, 18 Ogos 2009

WUJUDKAN DUN LANGKON





ARKIB : 18/08/2009-utusan malaysia Wujudkan semula kerusi DUN Langkon

KUDAT 17 Ogos - UMNO Bahagian Kota Marudu meminta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkon dalam Parlimen Kota Marudu diwujudkan semula bagi membolehkan UMNO memperjuangkan nasib penduduk di kawasan itu.

Ketuanya, Wetron @ Mohd. Fikri Bahanda berkata, cadangan itu ditimbulkan bukan bermakna masyarakat di situ diabaikan tetapi kerana Kota Marudu sebuah daerah luas.

"UMNO tidak mahu rebut kerusi atau kacau kuota komponen Barisan Nasional (BN) lain, kita mahu hubungan sesama kita kekal sampai bila-bila, tetapi kita juga mahu menyumbang.

"Kita harap melalui persempadanan baru yang dicadangkan, UMNO Kota Marudu akan diberi kerusi melalui pengwujudan semula DUN Langkon yang dibatalkan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kudat dan Kota Marudu yang dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan di Dewan Tun Mustapha di sini semalam.

Perasmiannya disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan Ketua UMNO Kudat, Bolkiah Ismail.

Kerusi DUN Langkon sebelum ini dimiliki Parti Bersatu Sabah (PBS) dan dibatalkan setelah persempadanan semula dilakukan iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-9 pada 1995.

Fikri berkata, kewujudan semula kerusi DUN Langkon adalah perlu memandangkan Parlimen Kota Marudu hanya mempunyai dua kerusi DUN iaitu Matunggong dan Tandek.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, UMNO Kota Marudu berharap daerah itu dibangunkan dengan projek pertanian berskala besar bagi membantu penduduknya.

Katanya, rata-rata mereka adalah petani yang masih hidup di bawah paras kemiskinan dan amat memerlukan bantuan kerajaan.

Sementara itu, Bolkiah yang juga ADUN Pitas menyeru ahli-ahli UMNO supaya merapatkan barisan dan melupakan perbalahan atau rasa tidak puas hati selepas pemilihan parti baru-baru ini.

Jelasnya, jika ahli-ahli UMNO terus bersengketa, perbuatan itu hanya akan merugikan parti sedangkan UMNO perlu bangkit dan memenangi pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan